Sayang disayang

Monday, February 24, 2014

Sambil menonton tv rancangan Forum Perdana, haji Seman tiba tiba berkata, "Cakap memang senang lah.." Isterinya hajah Ramlah dah agak dah, memang kebiasaan memberi komen apa saja rancangan yang mereka tonton. Hajah Ramlah dah tak kuasa untuk melayannya. Kalau dibangkang atau dijawab, suasana akan menjadi tegang. Haji Seman bukan boleh disangkal pendapatnya. Memang haji Seman pandai berhujah dan berpidato. Beberapa kali penduduk taman Murni mempelawanya masuk menjadi ahli politik, tetapi beliau enggan kerana dia ingin berehat katanya. Haji Seman sudah hampir sepuluh tahun bersara. Dulu dia seorang pegawai kerajaan dalam Kementerian Dalam Negeri.

"Memang tugas penceramah memberi pendapat berdasarkan ilmunya bang..." hajah Ramlah nak menjawab juga. " Penceramah penceramah tu bukan cakap kosong,," sambung hajah Ramlah lagi. Hajah Ramlah juga persara kerajaan, bekas seorang guru bahasa Inggeris..

(bersambung..)

"Memang betul.." jawab haji Seman dan menyambung lagi, "...bila kita menghadapi masaalah, orang boleh bagi nasihat, tapi mereka tak tau perasaan kita yang menghadapi masaalah itu."

"Abang, bila kita menghadapi masaalah, kita tak boleh berfikir, tapi orang lain boleh berfikir dan boleh bagi pendapat..." jawab isterinya itu.

"Macam mana dia nak bagi nasihat sedangkan dia tidak pernah melalui dan menghadapi masaalah yang kita lalui, seperti orang tak pernah berumahtangga nak bagi nasihat kepada suami atau isteri yang menghadapi masaalah rumahtangga.." haji Seman berhujah lagi...

"Abang tau tak ada orang bukan Islam lebih memahami tentang ugama Islam dari orang Islam ?" Hajah Ramlah mula pula berhujah. Suasana dan mula tegang.

"Kalau dia tau tentang Islam, mengapa dia tidak memeluk ugama Islam ?" Haji Seman menempelak.

"Mungkin dia belum dapat hidayah lagi." Jawab isterinya itu..

Kedua dua mereka diam sejenak. Haji Seman atau Osman nama sebenarnya merasakan dia tercabar pada kali ini. Selalu nya, isterinya tidak menjawab jika dia membuat apa apa komen atau kritikan tentang sesuatu
isu. Haji Seman termenung sebentar. Hajah Ramlah merasa bersalah pula kerana membuatkan suaminya itu "kalah".

Sunday, February 16, 2014

"Engkau tak kerja hari ni ?" tanya haji So'od kepada Husin, anak saudaranya.
"Dah berhenti pak Long.." jawab Husin selamba.
"Haiii, engkau ni sampai bila kerja tak tetap.." keluh hj So'od.
"Bukan saya taknak kerja, pak Long. Gaji nya kecik sangat. Tak cukup !"
"Habis tu kalau engkau tak kerja, kau dapat gaji besar ke ?" Haji So'od mula nak berhujah.
"Sebenarnya, saya nak berniaga lah pak Long." sambung Husin dengan suara perlahan.
"Bagus tu.  " Haji So'od menyokong, " Berniaga ni pendapatan lebih dari orang makan gaji." sambung haji So'od lagi.
"Tapi pak Long,..." ayat Husin terputus.
"Ha, tapi apa pulak ?" Sejak tadi haji So'od berkata kata seperti menengking pulak. Husin faham sangat perangai haji So'od, bapa saudaranya itu. Walaupun haji So'od bercakap selalu dalam nada tinggi. tapi hatinya baik dan sedia menolong.
"Saya tak cukup modal lah pak Long" Husin berkata dengan nada sayu..
"Aku dah agak dah..."
"Berapa banyak yang engkau nak ?" Haji So'od seolah olah tahu maksud anak saudara nya itu.
"Lima ribu aje, pak Long" jawab Husin. Terbeliak mata haji So'od mendengarnya.

Thursday, February 13, 2014

"Aku peduli apa kalau tol naik.." tiba tiba haji Ramlan melepaskan perasaan nya lalu meletakkan surat khabar yang baru dibacanya tadi. Kopi yang telah lama dihidangkan dihadapannya belum lagi diminum kerana asyik membaca surat khabar yang ada direstoran tempat dia selalu berkunjung itu. Osman yang duduk dihadapannya tersentak seketika. Minuman yang dipesannya olih Osman belum sampai lagi. Dia baru sahaja sampai dan duduk dihadapan haji Ramlan setelah dipelawa oleh haji Ramlan.

"Tuan haji memang tak pedulilah, kerana diIpoh ni mana ada tol kecuali nak keutara atau keselatan.." Osman menyampuk. Osman seorang pekerja dengan Persatuan Peladang yang pejabatnya tidak jauh dari restoran mereka sedang berada. Haji Ramlan pulak seorang pesara tentera berpangkat kapten. Anak anak haji Ramlan semuanya sudah berkerja dan berumahtangga kecuali dua orang yang masih menuntut. Beliau juga sudah ada lima orang cucu.

"Dulu aku pergi Kuala Lumpur dengan bini nak melawat anak aku. Bayaran tol lebih dari duit petrol. Bayangkan lah..." Haji Ramlan menyambung lagi.

"Ngapa tuan haji tak ikut jalan lama ?" tanya Osman...